KATA-KATA ALUAN GURU BESAR

siwluan.JPG (3969 bytes)

PUAN TEO SIW LUAN

            Pertamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya untuk melakarkan sepatah dua kata bersempena dengan pelancaran Laman Web ini. Saya ditukarkan ke sekolah SJK(C) Chi Mang, Air Masin pada 1.6.97. Pada hari pertama, saya melaporkan diri, apa yang menghairankan saya ialah di tengah-tengah sebuah perkampungan nelayan dan terletak di persisiran samudra terdapatnya sebuah bangunan sekolah yang begitu cantik sekali. Terfikir di dalam hati saya, apa lagi yang boleh saya lakukan demi anak kampung nelayan ini memandangkan sekolah ini sudah tidak mempunyai masalah tentang bangunan.

            Namun tidak lama kemudian, persoalan saya sudah terjawab. Pihak Jemaah Pengurus Sekolah dan PIBG serta penduduk-penduduk kampung mempunyai satu hasrat yang sama iaitu membolehkan anak-anak mereka belajar kemahiran teknologi maklumat di sekolah  tanpa bersusah-payah pergi ke bandar untuk mempelajarinya. Betul, dalam era teknologi maklumat ini, kalau kita masih tidak celik komputer, kita akan ketinggalan. Dengan adanya permuafakatan di antara Jemaah Pengurus, PIBG, staf , penduduk kampung, dan juga bantuan daripada YB Dato Ong Ka Ting, kelas komputer sekolah kecil ini dibuka pada 9.2.1998 dan dirasmikan pada 14.3.1998.

            Selepas itu kami semua mula bercita-cita ingin melancarkan Laman Web Sekolah Chi Mang melalui Internet. Kalau Laman Web sekolah ini dapat dilancarkan seperti sekolah besar yang lain, khabar gembira ini sudah tentulah akan dapat menggembirakan lagi hati ahli keluarga Chi Mang khasnya dan Kampung Air Masin amnya. Ini juga merupakan satu tanda kemajuan yang bersejarah untuk sekolah ini. Setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Pengurus dan PIBG serta mendapat sokongan bantuan kewangan daripada seorang murid tua iaitu Encik Low Kim Teck, semua staf mula sibuk dengan tugasan persediaan Laman Web.

            Kini, ahli keluarga Chi Mang sudah boleh mengumumkan dengan bangganya Homepage Chi Mang sudah dilancarkan.

            Penggunaan konsep teknologi maklumat dan penubuhan Koridor Raya Multimedia merupakan cabaran yang mesti ditangani oleh setiap warga pendidikan.

            Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan pelancaran Laman Web ini. Semoga segala usaha yang dijalankan akan membawa kepada kejayaan yang lebih cemerlang.

Sekian, terima kasih.

` Kecemerlangan Melalui Teknologi '


 

 

 

 

 

 

 

     

      * Kata Aluan PPD  *       backfade.gif (12820 bytes)


Laman Web SJK(C) Chi Mang Dilancarkan Dengan Rasminya oleh
En. Low Kim Teck
pada 17.8.1998

Laman Web SJK(C) Chi Mang diselenggara oleh:
Cik Tey Pui Yan dan En. Soo Yuan Hun
SJK (C) CHI MANG,
Air Masin, 82300 Kukup, Pontian, Johor, Malaysia.
07-6969032